Tuesday 29 April 2014

DOA ORANG YANG DIZALIMI



Dalam suatu riwayat dari Anas bin Malik r.a. disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “ tolonglah saudaramu ketika dia berbuat zalim atau ketika dia dizalimi”. Seorang sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika dia dizalimi, namun apabila dia berbuat zalim, bagaimana aku perlu menolongnya?” Baginda menjawab: “cegahlah dia atau tahanlah dia dari berbuat zalim, maka ini adalah pertolongan baginya.” ( Hadis riwayat Bukhari)

Hadis tersebut mengisyaratkan bahawa kita melihat seseorang yang ingin menganiayai orang lain, maka cegahlah ia. Pencegahan itulah merupakan pertolongan baginya. Sedangkan apabila ada orang yang dizalimi, maka menolongnya adalah membelanya dari orang yang zalim. Kalau kita diperintahkan untuk menolong saudara kita yang zalim atau dizalimi, lalu bagaimana mungkin kita sendiri yang menzalimi. Apabila kita berbuat zalim, ertinya kita sendiri yang perlukan pertolongan dari orang lain. Kenapa? Kerana doa orang yang dizalimi makbul, kerana tidak ada penghalang diantaranya dengan Allah SWT.


“Engkau akan mendatangi kaum dari golongan ahlul kitab. Ajaklah mereka untuk bersyahadat  ‘Tiada Tuhan selain Allah’ dan aku adalah utusan Allah. Jika mereka mentaatinya, beritahulah kepada mereka bahawa Allah SWT mewajibkan solat lima kali sehari semalam. Jika mereka mentaatinya maka beritahulah kepada mereka bahawa Allah SWT mewajibkan mereka untuk berzakat yang diambil dari orang-orang yang mampu dan diberikan kepada orang yang fakir. Jika mereka mentaatinya pula, maka jauhilah olehmu harta-harta berharga mereka dan takutlah doa orang yang dizalimi kerana tiada pembatas doa yang dizalimi dengan Allah SWT.” ( Hadis dari Ibnu ‘Abbas)

“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allahh benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu” (Al-Hajj:39)

“Demikianlah dan barang siapa membalas seimbang dengan penganiayaan yang pernah ia deritai kemudian ia dianiaya (lagi), pasti Allah akan menolongnya.” (Al-Hajj:60)

Ada riwayat yang menyatakan bahawa pada hari kiamat Allah SWT akan mengqisas kambing yang bertanduk kerana menganiaya kambing yang tidak bertanduk. (Hadis Riwayat Tarmizi). Semua itu untuk menunjukkan sempurnanya keadilan Allah SWT. Kalau terhadap binatang pun begitu, apatah lagi terhadap manusia.


Renungan bersama:
Apabila engkau melihat kemungkaran, ubahlah dengan tanganmu..
Apabila engkau tidak mampu, ubahlah dengan Lisanmu..
Apabila dengan lisanmu pun engkau utidak mampu, maka ubahlah dengan hatimu..